Followers

Monday, 1 April 2013

MATLAMAT PERJUANGAN PAS


SEPERTI mana yang telah digariskan dalam Perlembagaan PAS, matlamat perjuangan PAS pada prinsipnya tidak pernah berubah, sama ada pada waktu ini, sebelumnya atau sejak awal penubuhannya dahulu, iaitu memperjuangkan sehingga terlaksananya peraturan dan hukum-hukum Allah dalam sebuah masyarakat dan pemerintahan di negara ini. Matlamat inilah yang telah diperjuangkan oleh PAS sejak dahulu hingga sekarang.
Dalam undang-undang tubuh PAS Bab Pertama (Fasal 2, Ceraian 2) telah menerangkan secara jelas perkara tersebut iaitu: “Memperjuangkan cita-cita lslam dalam masyarakat dan urusan pemerintahannegara. Sementara dalam Perlembagaan PAS (Pindaan 1993) Bab Ketiga (Fasal 5, Ceraian 1) telah menyebutkan: “Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup lslam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah”.
Walaupun matlamat yang diperjuangkan ini tidak pernah ada perubahan, namun tidak dapat dinafikan bahawa dari segi penekanan yang diberikan mungkin terdapat sedikit perbezaan.
Perbezaan yang dimaksudkan di sini ialah mungkin pada peringkat awal penubuhannya dahulu PAS lebih menekankan kepada betapa pentingnya kemerdekaan negara serta tuntutan-tuntutan berhubung dengannya (seperti yang disebutkan dalam Fasal 2, Ceraian 1 undang-undang tubuh PAS yang berbunyi: “Menjalankan ikhtiar dan langkah dengan tujuan menegakkan kemerdekaan negara dan umat lslam”, dan kemudian barulah memperjuangkan cita-cita lslam dalam masyarakat dan urusan pemerintahan negara. Tetapi setelah kemerdekaan negara dicapai, cita-cita memperjuangkan kewujudan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup lslam dan hukum-hukum yang menuju kepada keredhaan Allah menjadi matlamat utama disamping mempertahankan kesucian lslam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara yang menjadi perkara pokok kedua.
Sebagai sebuah parti politik yang dasarnya adalah lslam, tujuan pertama dari matlamat perjuangan PAS di awal penubuhannya dahulu, iaitu untuk mendapatkan kemerdekaan negara adalah satu perkara yang wajar. Kemerdekaan ketika itu adalah tugas pokok yang pertama kerana dengan kemerdekaan (menghapuskan penjajah), ia akan menjadi alat atau jambatan yang boleh menyampaikan kepada terlaksana cita-cita seterusnya, iaitu mewujudkan sebuah masyarakat dan negara lslam.
Tidak mungkin ideologi atau cita-cita yang diperjuangkan oleh PAS itu dapat dilaksanakan dengan sempurna sekiranya negara masih hidup di bawah kongkongan penjajah.
Justeru, kemerdekaan bagi PAS dan seluruh umat lslam adalah mengandungi nilai yang besar dan tinggi. PAS bukan sahaja berpendapat memperjuangkan kemerdekaan negara merupakan satu kewajipan politik, tetapi  ia lebih  daripada  itu. Demi kehormatan dan kemuliaan hidup, memperjuangkan kemerdekaan negara bagi melepaskan diri dari ikatan penjajahan asing  adalah  satu  perkara  yang  mesti ditunaikan kerana ia juga merupakan satu perintah agama dan perintah Tuhan yang wajib dilaksanakan.
Adalah menjadi satu kesalahan dari segi hukum bagi orang-orang lslam yang duduk di bawah penjajahan asing atau orang yang tidak seagama dengannya. Tegasnya, PAS mentafsirkan bahawa kemerdekaan yang diperjuangkan itu mestilah kemerdekaan yang dapat melepaskan umat lslam dan negara dari sebarang rupa bentuk penjajahan oleh orang-orang yang bukan beragama lslam baik dalam politik, ekonomi, sosial mahupun kebudayaan.
Tidaklah besar erti kemerdekaan bagi PAS sekiranya perjuangan kemerdekaan berhasil bagi menghapuskan satu penjajahan asing, tetapi digantikan pula dengan penjajahan lain oleh orang yang seumpama itu.
Untuk mencapai apa yang diperjuangkan itu, PAS menekankan supaya martabat lslam hendaklah diutamakan serta diletakkan di tempat yang sewajarnya, dan ia tidaklah harus digadaikan hanya semata-mata kerana inginkan kemerdekaan.
Kesungguhan PAS untuk memastikan negara ini tidak terlepas daripada penguasaan Melayu-lslam inilah yang menyebabkan salah satu tuntutan PAS kepada Suruhanjaya Reid melalui memorandum balasnya adalah menjadikan lslam sebagai agama rasmi negara. Tuntutan PAS ini walaupun pada mulanya tidak dilayan oleh British dan tidak pula disokong oleh parti-parti politik lain, khususnya UMNO, namun setelah menyedari reaksi kurang senang orang Melayu-lslam terhadap Suruhanjaya itu, maka pemimpin-pemimpin UMNO mencadangkan supaya “peruntukan agama lslam sebagai agama Persekutuan” di masukkan dalam draf Perlembagaan negara.
Bagi PAS apabila sahaja lslam terpelihara dan dapat dipertahankan, secara tidak langsung kedudukan, taraf, hak dan kepentingan orang Melayu dapat diselamatkan. lni kerana orang Melayu itu adalah suatu yang tidak dapat dipisahkan dengan lslam.
Namun begitu, UMNO telah melakukan suatu pengkhianatan apabila melalui memorandum balasnya kepada Suruhanjaya itu (Reid) telah menjelaskan bahawa “peruntukan agama lslam sebagai agama Persekutuan”sama sekali tidak menjadikan negara ini sebagai sebuah negara lslam.
Menyedari hakikat tersebut, bagi mengisi ruang kekosongan kemerdekaan itu, PAS melalui perjuangan politiknya yang meletakkan lslam sebagai ideologi dan pegangan hidup telah bertindak meningkatkan perjuangannya dengan cita-cita memperjuangkan lslam dalam masyarakat dan negara.
Bagi mencapai tujuan tersebut, PAS telah mengemukakan beberapa dasar lslamnya, yang antaranya termasuklah sebagaimana yang disebutkan di awal dahulu.
Oleh kerana matlamat yang diperjuangkan oleh PAS adalah untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang terlaksana di dalamnya hukum-hukum lslam, maka sudah tentulah landasan yang perlu dilalui oleh PAS dalam perjuangannya itu adalah lslam. Dengan itu juga tidaklah menghairankan sekiranya sumber hukum yang tertinggi dalam pegangan PAS ialah al-Quran, Sunnah Rasulullah serta ljmak ulama dan Qias yang terang dan nyata.
PAS percaya bahawa hanya dengan lslam sahajalah negara dan masyarakat dapat dibawa ke arah keselamatan dan kebahagian yang sebenar-benarnya. Dengan itu, tugas menegakkan sebuah negara lslam ini adalah menjadi kewajipan pokok yang akan terus diperjuangkan oleh PAS.
Tambahan pula di dalam al-Quran secara terang dan jelas Allah telah meletakkan golongan manusia yang tidak suka atau tidak mahu melaksanakan peraturan atau hukum-hukum-Nya dalam kehidupan sebagai golongan yang telah zalimfasik dan kufur.
Dari itu wujudlah perbezaan di antara perjuangan PAS dengan parti-parti politik lain di negara ini khususnya UMNO dan kerabatnya, yang mana parti-parti tersebut tidak menjadikan lslam sebagai matlamat utama mereka.Dan pertembungan di antara PAS dan UMNO itu adalah merupakan antara yang haq dan bathil.  

No comments: