Followers

Saturday, 25 January 2014

KESEDARAN ISLAM SEBENAR


    Firman Allah S.W.T.:
    “Dan manusia itu memohon (datangnya) bahaya, sebagaimana mereka memohon (datangnya) kebaikan dan manusia itu adalah tergesa-gesa."
    (Surah  al-Isra’: ayat 11)
    “Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.”.(Surah al-Maidah: ayat 45)
    Kehilangan Islam Dalam Praktik Hidup Masyarakat
    Praktik hidup umat Islam kini sedang menolak keterangan al-Quran al-Karim. Ini bererti mereka menolak kekuasaan, kedaulatan dan janji-janji Allah S.W.T. Juga bererti menolak cara hidup yang diredhai Allah S.W.T. untuk difahami, disedari, diyakini dan dilaksanakan.
    Keyakinan umat mestilah dibina semula agar mereka merasai pripentingnya rahmat Allah S.W.T.  dan mempertahankannya dalam kehidupan mereka. Seterusnya, agar penolakan terhadap rahmat Allah S.W.T. dirasakan sebagai satu ancaman keras yang sentiasa membahayakan keselamatan jiwa, fikiran dan amalan.
    Kesan daripada penolakan tadi,  umat kini  kehilangan Daulah Islamiyyah, tamaddun Islam, Ummah Islamiyyah, hukum-hukum Islam, Tarbiyyah Islamiyyah ke arah ‘Ubudiyyah, nilai hidup sebenar, akhlaq sebenar, keperibadian sebenar, pembangunan sebenar, kekuatan sebenar, pertahanan sebenar, keharmonian sebenar dan kejayaan sebenar.
    Punca
    Penolakan umat terhadap Islam berpunca dari ‘aqidah yang lemah. ‘Aqidah yang tidak berfungsi untuk kembali kepada Islam sebagai ad-Din. ‘Aqidah yang sakit lantaran dipengaruhi dan diserang oleh Din atau cara hidup bukan Islam.
    Berbagai-bagai penyakit menyerang jiwa, fikiran dan tingkahlaku umat hingga Islam kembali menjadi dagang. Islam sebagai ad-Din turut dagang di hati orang-orang yang mengaku beriman. Rasa cinta kepada Islam sebagai cara hidup yang Allah redhai sudah tiada. Rasa keperluan kepada pembentukan masyarakat Islam juga tiada. Yang wujud ialah realiti mempertikaikan kehendak-kehendak Allah S.W.T. Ini bererti mempertikaikan ketaatan yang Islam kehendaki, mempertikaikan nilai-nilai syara’, mempertikaikan akhlaq dan mempertikaikan keperibadian Islam.
    Suasana Kabur
    Pendokong-pendokong sistem kini, yang mendaulatkan Din rekaan manusia turut menggembar-gemburkan syi’ar atau lambang Islam di waktu dan ketika tertentu. Kesungguhan mereka menonjolkan syi’ar atau lambang itu selaras dengan kesungguhan mereka mempertahankan Din rekaan manusia. Tanpa kefahaman dan kesedaran sebenar, umat Islam terpengaruh dengan syi’ar atau lambang yang dihiaskan. Semua ini menimbulkan salah faham dan prasangka pada diri umat. Yang haram telah dihalalkan dan yang salah selalu dibenarkan. Nilai syara’ diketepikan. Umat tidak sedar dan larut dalam suasana perhambaan sesama manusia. Inilah satu kezaliman besar yang mesti segera disedari atau disedarkan kepada umat.
    Siapakah Yang Akan Menyambut Seruan Kesedaran?
    InsyaAllah  di sana sini masih ada insan yang ikhlas dan merasai keperluan untuk bertindak segera. Mereka perlu dikumpulkan dan dibimbing agar keikhlasan mereka berada di bawah telunjuk syara’. Begitu juga kembali kepada Allah S.W.T. mestilah mengikut cara yang betul dan diredhaiNya.
     
    Da’i perlu keluar mencari jiwa-jiwa yang merasai kehilangan Rahmat Allah S.W.T. dan yang mencari serta ingin menyahut seruan Allah S.W.T. Fitrah Insaniah untuk kembali kepada fungsi tauhid sebenar sememangnya ada. Ada yang sanggup melalui proses, ada yang sedang melalui proses dan ada yang telah melalui proses. Ada juga yang lambat melaui proses. Da’i atau murabbi perlulah bijaksana menggunakan teknik dan cara bertindak.
    Dasarnya adalah firman Allah S.W.T. yang bermaksud'
    "Wahai Nabi cukuplah Allah bagimu dan yang mengikuti kamu terdiri dari orang-orang yang beriman.”
    Juga ditegaskan  bahawa da’i perlu mencari dan mengumpulkan hati-hati yang merasai kehilangan Rahmat Allah S.W.T. Hati-hati yang merasai kehilangan neraca syara’ dalam praktik hidup umat sekarang. Hati-hati yang ingin kembali kepada hakikat hidup yang memperhambakan diri hanya kepada Allah S.W.T. dalam setiap bidang.
    Hati-hati ini perlu diasuh agar menyedari kehilangan Islam sebagai ad-Din. Umat Islam bukanlah kehilangan ekonomi Islam, politik Islam atau pembangunan Islam sahaja.  Umat juga  bukan kehilangan masjid dan rumah-rumah ibadat. Umat sebenarnya kehilangan pokok, bukan ranting-ranting. Umat kehilangan rumah, bukan bahagian-bahagian rumah. Juga, umat bukan kehilangan kuantiti tetapi kehilangan kualiti yang ingin mengambil Islam sebagai ad-Din.
    Hati-hati ini perlu diasuh agar memahami bahawa penyakit sedang menyerang umat dan merosakkan ‘aqidah umat. Tauhid pada hati-hati umat semakin futur atau tidak berfungsi dengan betul.
    Hati-hati ini perlu diasuh agar menyedari bahawa segala tindakan  berpunca dari permasalahan aqidah yang mesti dirongkai terlebih dahulu. Juga, memahami makna dan fungsi Iman sebenar agar tindakan yang lahir selaras dengan tuntutan Iman. Iman kepada Allah S.W.T. adalah pemancar. Dari pemancar ini lahirlah kerja-kerja Islam.
    Da’i atau murabbi perlu memahami bahawa ‘mukmin’ adalah natijah yang lahir daripada tarbiyyah yang menekankan keimanan kepada Allah S.W.T.Terdapat perbezaan antara tarbiyyah dan natijah tarbiyyah.
    Punca Kekuatan
    Iman kepada Allah S.W.T. adalah satu kekuatan. Quwwah Imaniyyah perlu dibina sebelum Quwwah Maddiyyah. Iman akan membentuk segala dorongan atau kekuatan yang ada dalam hati. Kekuatan-kekuatan itu termasuklah:
    1.    Kesedaran
    2.    Ketaatan
    3.    Keikhlasan
    4.    Kepatuhan
    5.    Keinginan
    6.    Kesabaran
    7.    Kecintaan
    8.    Ketabahan
    9.    Kemesraan
    10.  Kesyukuran
    11.  Keberanian
    12.  Kesungguhan
     
    Kekuatan ilmu pengetahuan perlu dipelajari, dituntuti dan didalami. Kekuatan harta kekayaan perlu diperkukuhkan. Kekuatan tubuh badan dan ketenangan mental perlu dipelihara dan dipertingkatkan. Semua kekuatan itu perlu diproses agar berada di bawah telunjuk Iman.
    Dalam realiti kini, kekuatan-kekuatan tersebut telah dididik oleh Din bukan Islam untuk mengenepikan cara hidup Islam, menolak nilai Allah S.W.T., mengutamakan nilai manusia, mencemarkan kesucian Islam, menyusahkan kefahaman Islam dan merosakkan kesadaran atau keyakinan terhadap Islam.
    Da’i atau murabbi perlu mencari kekuatan-kekuatan itu dan memproses dalam Manhaj Tarbiyyah agar dipandu oleh Iman kepada Allah S.W.T.. Iman yang mengarahkan setiap kekuatan itu untuk melahirkan suatu hasil yang kena pada tempat, masa dan ketika serta selaras pula dengan kehendak Allah S.W.T. atau syara’ serta tuntutan Tarbiyyah Islamiyyah.
    Dalam suasana kehilangan Islam kini, semua kekuatan itu perlu ditarbiyyah oleh jama’ah atau harakah yang bebas daripada sebarang pengaruh jahiliyyah. Hanya tarbiyyah yang betul akan membawa seseorang kepada cara hidup Islam, sepertimana yang dikehendaki Allah S.W.T.
    Firman Allah S.W.T: yang bermaksud;
    “Sesungguhnya Din di sisi Allah hanya al-Islam.”
    Hati juga perlu diproseskan agar bertambah benci dan marah terhadap kekufuran, kefasiqan, kezaliman, kemaksiatan dan kemungkaran. Kekufuranlah yang telah menanam neraca serong terhadap segala tuntutan Allah S.W.T.
    Tarbiyyah Islamiyyah Harakiyyah
    Tarbiyyah Islamiyyah Harakiyyah adalah merujuk kepada Madrasah Rasulullah S.A.W. Tarbiyyah berbentuk gerakan akan melaksanakan tarbiyyah yang haq tanpa mengira pertimbangan atau desakan lain. Memperkatakan yang haq tidak boleh berlembut, mengampu atau melayani hawa nafsu.
    Firman Allah S.W.T.:
    “Dan katakanlah kebenaran itu dari Tuhanmu, maka sesiapa yang ingin beriman dia beriman dan sesiapa yang ingkar maka maka dia ingkar.”
    -Surah al-Kahfi: ayat 29.
    Sumber tarbiyyah dan pembentukan ummah ialah wahyu Allah S.W.T. semata-mata agar selaras dengan tujuan untuk melahirkan anggota-anggota yang yakin kepada jalan Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T.:
    “Kebenaran itu dari Tuhanmu, oleh itu janganlah kamu termasuk golongan yang ragu-ragu."-Surah al-Baqarah: ayat 47.
    Tegasnya, al-Quran dan as-Sunnah adalah sumber-sumber yang mendidik, mengasuh, memimpin, menerang, menjelas dan memperingat. Juga sumber perundangan dan sumber yang memberikan jaminan-jaminan tidak kedapatan sumber-sumber yang lain.
    Tarbiyyah Islamiyyah mempunyai konsep Mu’alajah Syamilah  atau mengubati secara menyeluruh. ‘Aqidah umat yang telah diserang oleh Din bukan Islam kini mestilah diubati secara keseluruhan.
    Tarbiyyah dalam sistem kini mendidik umat untuk menerima Din bukan Islam dan menentang Islam sebagai cara hidup yang menyeluruh. Tarbiyyah ini mendidik umat untuk menerima sebahagian sahaja daripada ajaran Islam. Tarbiyyah itu juga mendidik umat untuk mengambil surat khabar dan majalah-majalah yang menyokong Din bukan Islam sebagai sumber fatwa. Sumber al-Quran dan as-Sunnah diketepikan atau direndah-rendahkan.
    Tarbiyyah Islamiyyah perlu membina asas baru untuk dibangunkan atasnya Islam yang merangkumi setiap bidang kehidupan. Asas untuk Islam ini mesti dibina mengikut cara yang dikehendaki Allah S.W.T. dan tidak mengikut cara-cara yang lain, meskipun berhadapan dengan tekanan-tekanan. Tarbiyyah Islamiyyah perlu memproses Iman yang membawa kesan dalam hati serta melahirkan perubahan-perubahan selaras dengan peningkatan iman.
    Hati-hati perlu dididik agar membuang kezaliman dan kebatilan yang ada padanya serta melahirkan amalan hidup mengikut syara’. Hati-hati perlu dididik agar memahami dan menyedari makna serta peranan jihad yang berterusan. Hati-hati juga perlu dididik agar memahami konsep kejayaan sebenar iaitu kejayaan di sisi Allah S.W.T. Didikan terhadap hatilah yang akan memudahkan itu semua.
    Tarbiyyah dalam sistem kini telah mendidik hati-hati umat untuk menerima dan mengikut kaedah majoriti manusia. Kaedah ini hanya memenuhi prasangka dan kemahuan hawa nafsu majoriti manusia sahaja. Asas-asas yang dibina itu mesti dirobohkan dan di atas runtuhan itu dibina asas baru untuk menerima dan mengikut syara’. Firman Allah S.W.T.:
    “Dan jika kamu mengikuti kebanyakan orang yang di muka bumi nescaya mereka akan menyesatkan kamu daripada jalan Allah. Mereka tidak lain hanya mengikuti prasangka belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (kepada Allah S.W.T.).”-Surah al-An’am: ayat 11.
    Asas keimanan yang kukuh mesti dibina semula untuk menolak semua serangan yang cuba menguasai hawa nafsu. Iman mestilah dilatih agar mengawasi hawa nafsu. Jangan biarkan hawa nafsu menguasai Iman dan menggadaikannya. Penguasaan hawa nafsu bakal membawa kepada kesesatan. Firman Allah S.W.T.:
    “Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti hawa nafsunya dengan tidak mendapat pertunjuk daripada Allah sedikit pun. Sesungguhnya Allah tidak memberi pertunjuk kepada orang-orang yang zalim.” - Surah al-Qashash: ayat 50.
    Hanya mereka yang yakin dan terlibat dengan Tarbiyyah Islamiyyah sepenuhnya akan merasai setiap perkembangan atau perubahan, samada mengukuhkan harakah atau pun melemahkan harakah. Kesan tarbiyyah akan jelas kelihatan dalam persaksian anggota-anggota samada mewakili harakah atau pun tidak. Kesan tarbiyyahlah yang  menyebabkan anggota-anggota merasai hubungan dengan harakah di mana sahaja dia berada.
    Anggota-anggota ditarbiyyahkan agar sentiasa mewakili Islam dan menolak Din bukan Islam  di mana sahaja, meskipun Din bukan Islam itu nama-nama yang baik daripada Islam. Sabda Rasulullah S.A.W. mafhumnya;
    “Kekafiran adalah Millah yang satu.”
    Konsep Kejayaan Bagi Anggota-anggota Harakah Islamiyyah
     
    Konsep kejayaan ialah mengikut apa yang ditentukan oleh Allah S.W.T. Konsep ini berbeza dengan konsep-konsep yang sering dilaung-laungkan oleh Din bukan Islam atau oleh mereka yang terpengaruh dengan Din bukan Islam.
    Firman Allah S.W.T. maksudnya;
    “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara".
    Kejayaan besar akan diperolehi jika Iman anggota-anggota  dibentuk dengan betul hingga melahirkan ukhuwwah seperti yang dikehandaki Allah S.W.T.. Firman Allah S.W.T.: bermaksud;
    “Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah orang yang beriman hanya kepada Allah  dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka di jalan Allah. Mereka itulah golongan yang benar.”-Surah al-Hujurat: ayat 15.
    Kejayaan tercapai apabila anggota-anggota beriman hanya kepada Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W. sahaja tanpa ragu-ragu. Terbukti pula kebenaran Iman mereka dengan pengorbanan harta dan jiwa. Inilah Iman yang Allah S.W.T. akui sebagai Iman . Firman Allah S.W.T.: maskudnya;
    “Katakanlah tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyak yang buruk itu menarik hatimu, maka bertaqwalah kepada Allah S.W.T. hai orang-orang yang beraqal agar kamu mendapat keberuntungan.”
    -Surah al-Maidah: 100.
    Berjayalah anggota-anggota harakah kiranya aqal mereka mengikut telunjuk taqwa. Sesungguhnya taqwa sahaja yang dapat membezakan di antara buruk dan baik. Taqwa sahaja yang dapat memperakui sesuatu itu buruk meskipun ia sangat banyak dan menarik hati. Firman Allah S.W.T.:
    “Mereka itulah orang-orang yang tetap mendapat pertunjuk dari Tuhannya dan mereka itulah orang yang beruntung.”-Surah al-Baqarah: ayat 5.
    Berjayalah anggota-anggota jika mereka Istiqamah dengan Islam dan mengambil wahyu Allah S.W.T. untuk dihayati di tengah-tengah Din  bukan Islam yang menguasai hidup masyarakat. Firman Allah S.W.T.:
    “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan di tengah umat manusia, kamu menyeru pada kema’rufan dan mencegah dari kemunkaran dan beriman dengan Allah.”-Surah ‘Ali Imran: ayat 110.
    Berjayalah anggota-anggota harakah jika Iman mereka dibentuk dan melahirkan akhlak terbaik, mengajak kepada ma’ruf terutama ma’ruf Al Akbar dan mencegah munkar terutama munkar Al Akbar pada diri, keluarga dan masyarakat.
    Harakah Islamiyyah berjaya bukan kerana ramai anggota dan banyak wang. Harakah Islamiyyah juga tidak kalah kerana sedikit anggota atau sedikit penyokongnya. Tetapi Harakah Islamiyyah berjaya apabila setiap anggotanya sabar dan tabah mencari redha Allah S.W.T., melaksanakan jihad menegakkan Din Allah S.W.T. atau mati syahid dalam usaha membentukan Ummah Islamiyyah dan menegakkan Din Allah S.W.T..

    Sumber Drp Pembacaan.

No comments: