Kita tidak perlu membahas dan memperkatakan tentang erti perkataan sekular ini dari sudut sejarah, siapakah tokoh yang menuturkannya lebih dahulu, di zaman bila dan mengapa timbul perkataan ini kerana itu semua tidak penting bagi kita.
Apa yang penting bagi kita, sebagai pegangan dan panduan agar kita tidak terjebak oleh faham sekular atau sekularisme ini ialah pengertian sekular itu sendiri mengikut pandangan Islam. Oleh itu perbahasan secara falsafah serta merujuk kepada sejarah dan tokoh-tokoh yang memperkatakan perkataan itu, tidak perlu kita bawa di sini. Ditakuti artikel ini terlalu panjang. Jadi kita hanya ambil yang perlunya sahaja untuk menjadi pegangan kita bersama. Agar di dalam kehidupan kita, walaupun di dalam bidang apa pun, kita tidak terjebak atau menempuh jalan sekular ini.
Sekarang marilah kita menghurai faham sekular ini mengikut pandangan Islam.
Faham sekular ialah mengendalikan urusan kehidupan di dunia secara terpisah daripada agama, ia tidak ada hubungan dengan Tuhan atau tidak ada hubungkait dengan Akhirat. Terpisah ini tidak kira sama ada di bidang ekonomi, politik, pendidikan, pentadbiran, kebudayaan, perhubungan dan lain-lain lagi. Dengan kata-kata yang lain, faham sekular itu ialah faham keduniaan semata-mata. la tidak ada sangkut paut dengan Akhirat.
Ertinya, bagi orang yang berfaham sekular, hidup di dunia ini hanya habis di dunia. Kalau untung pun hanya berlaku di dunia. Kalau rugi pun hanya berlaku di dunia. Sama ada susah atau senang, hanya di dunia. la tidak akan dipersoalkan lagi di Akhirat. Dosa dan pahala tidak masuk kira di sini kerana kehidupan itu hanya di dunia semata-mata.
Di dalam faham sekular, syariat tidak diambil kira. Syariat tidak ada tempat dalam kehidupan. Tuhan tidak campur tangan di dalam kehidupan manusia. Oleh yang demikian manusia boleh buat apa sahaja. Yang penting mendapat untung. Yang diperlukan adalah pembangunan dan kemajuan. Yang mustahak mendapat kemenangan dan kejayaan walau apa cara sekalipun. Walau terpaksa menghalalkan cara. Halal dan haram jangan difikirkan. Pantang larang jangan diambil kira.
Mengikut fahaman sekular, dunia bukan jambatan untuk Akhirat atau bukan tanaman untuk Akhirat. Segala apa yang berlaku di dunia ini hanya habis di dunia semata-mata. Tidak timbul soal dosa dan pahala dalam faham sekular. Tidak ada kehidupan di Akhirat atau tidak ambil pusing kehidupan di Akhirat. Kalaupun percaya dengan hari Akhirat, tetapi acuh tidak acuh. Seolah-olah Akhirat itu hendak dilupakan atau tiada. Bahkan sesetengah orang tidak senang dengan kehidupan Akhirat. Sebut sahaja Akhirat, hati benci, mulut mencemik. Orang yang menyebut Akhirat dirasakan kolot dan sudah ketinggalan zaman.
Golongan-Golongan Sekular
Setelah kita menghurai dan membahaskan erti faham sekular atau sekularisme maka di sini kita faham bahawa mereka yang berfaham sekular itu boleh dibahagi kepada beberapa kategori. Di antaranya seperti berikut:-
1. Golongan yang berfaham sekular sejati (pure)
Golongan yang tidak percaya langsung adanya Tuhan dan adanya kehidupan Hari Akhirat. Agama dianggap candu kepada manusia. la adalah bikinan manusia. Wujudnya alam ini adalah secara nature atau semula jadi. Orang atau golongan yang berpegang dengan faham ini adalah orang yang berfaham komunis, atheis atau free thinker. Golongan ini adalah orang yang berfahaman sekular yang sejati atau yang pure.
2. Golongan orang-orang yang berfaham sekular yang ter-sesat.
Golongan orang-orang kafir yang percaya dengan Tuhan, dengan hari Akhirat dan percaya dengan agama tetapi ti-dak kenal Tuhan. Keyakinannya dengan hari Akhirat tidak tepat. Agamanya tersesat. Kehidupan dunianya terpisah dari agama. Dalam urusan kehidupan di dunianya, seolah-olah Tuhan tidak campur tangan. Inilah golongan faham sekular yang tersesat.
3. Golongan orang-orang Islam yang yakin dengan wujud-nya Tuhan.
Golongan orang-orang Islam yang yakin dengan wujudnya Tuhan dan pengenalannya tentang Tuhan tepat. Percaya dengan hari Akhirat secara tepat. Namun Islamnya hanya di sudut ibadah. Persoalan kehidupan seperti ekonomi, politik, pendidikan, perjuangan dan lain-lain tidak boleh dicampur aduk dengan Islam kerana kejahilan. Syariat Islam tidak ada tempat di dalam kehidupan kecuali di sudut ibadah sahaja. Selain ibadah, mereka boleh menerima apa sahaja pandangan ideologi atau akal fikiran. Itulah golongan sekular disebabkan fasik.
4. Golongan sekular disebabkan zalim.
Orang Islam seperti golongan ketiga tadi tetapi yakin bahawa Islam itu adalah agama yang syumul. la adalah agama seluruh kehidupan. Islam adalah agama ibadah, agama politik, agama pentadbiran, agama ekonomi, agama pen-didikan tetapi mungkin kerana takut dengan golongan-golongan tertentu, atau tidak sanggup menerima risiko yang berat, kerana kepentingan peribadi atau kerana malu dan takut dituduh kolot maka berlakulah syariat Islam ditinggalkan melainkan di sudut ibadah. Di aspek-aspek kehidupan yang lain, syariat Islam tidak menjadi disiplin dan peraturan. Inilah golongan sekular disebabkan zalim.
5. Golongan sekular yang tertukar nawaitu.
Orang Islam yang mengerjakan ibadah, berjuang, berekonomi, berpendidikan, berdakwah, berpolitik, berhubung dan lain-lain lagi walaupun mengikut syariat tetapi bukan kerana Allah Taala. Semua itu dibuat kerana riyak, ujub, nama, glamour, pangkat, wang ringgit, sama ada disedari atau tidak. Oleh kerana itu pahalanya tidak sampai di Akhi-rat. Itulah golongan sekular disebabkan tertukar nawaitu atau niatnya.
6. Golongan sekular yang disebabkan adanya unsur-unsur sekular atau mementingkan dunia.
Golongan yang lebih halus lagi daripada itu ialah apabila seseorang Islam itu, segala usaha-usahanya mengikut syariat tetapi oleh kerana terlalu membesarkan kehidupan dunia daripada kehidupan Akhirat, dia tidak sanggup mengeluar-kan zakat lalu menjadi bakhil. Dia tidak suka membuat kebaikan, tidak suka menolong orang, tidak suka berse-dekah, suka mengumpul harta sahaja dan menjadi tamak. Itulah golongan sekular disebabkan adanya unsur-unsur sekular atau mementingkan dunia.
Begitulah erti faham sekular atau sekularisme mengikut pandangan Islam yang saya faham secara ringkas. Jadi faham sekular ini hanya mementingkan dunia semata-mata. Percaya dengan hari Akhirat tetapi tidak mengambil berat terhadap Akhirat. Sengaja melupa-lupakan atau acuh tidak acuh dengan Akhirat kerana hati telah terpaut dengan kehidupan dunia. Apatah lagi kalau seseorang itu tidak percaya langsung dengan hari Akhirat. Kehidupan itu hanya di dunia semata-mata. Lebih-lebih lagilah orang itu berfaham sekular yang sejati atau orang yang berfaham keduniaan yang benar-benar pure.
Oleh yang demikian di akhir zaman ini, majoriti penduduk dunia ini berfaham sekular. Sama ada mereka berkeyakinan bahawa kehidupan ini hanya habis di dunia atau yang masih yakin dengan kehidupan di Akhirat tetapi dari segi hati dan sikapnya, dia lebih mementingkan kehidupan di dunia dari kehidupan Akhirat.
Di sini jugalah bahawa umat Islam pun telah ramai yang menganut faham ini. Kalau tidak berfaham sekular yang tulen pun setidak-tidaknya tempias-tempiasnya telah menyerang umat Islam. Di sinilah rahsianya mengapa umat Islam tidak boleh bersatu. Hati umat Islam telah dirosakkan oleh faham sekular atau faham sekularisme.
Sekianlah pandangan saya ini. Kalau ada kebenarannya, maka ia adalah daripada Allah Taala yang Maha Mengetahui. Kalau ada salah dan silapnya maka ia adalah daripada kelemahan saya sendiri sebagai seorang yang tidak mempunyai pelajaran yang tinggi.
Wassalam
Ustaz Ashaari Muhammad
No comments:
Post a Comment